CHENGDU, 6 Mei -Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky mahu melihat barisan pemain perseorangan negara lebih mantap sekali gus memberikan tentangan sengit apabila tampil pada edisi 2026 Piala Thomas di Horsens, Denmark.
Rexy berkata dalam tempoh dua tahun lagi, skuad lelaki akan lebih seimbang memandangkan kem beregu negara lebih stabil berbanding perseorangan negara yang tidak mempunyai kekuatan sama rata ketika ini.
"Pemain harus lebih tegas. Sejujurnya, kita memang harap dapat ambil mata daripada seorang pemain perseorangan dan dua beregu namun negara lain dapat tutup satu sama lain.
"Kita pasti Lee Zii Jia merasakan tekanan namun kalau kita ada pemain perseorangan kedua dan ketiga yang sama rata (kualiti) mungkin tekanan berkurangan (untuk perseorangan pertama)," katanya kepada media Malaysia di sini pada Ahad.
Rexy mengakui mengakui kebergantungan kepada Zii Jia turut menjadi punca Malaysia tumbang kepada China 1-3 pada aksi separuh akhir.
Keputusan itu sekali gus meranapkan impian menamatkan kemarau 32 tahun untuk menjulang Piala Thomas.
Justeru, Rexy berkata, sesi penilaian semula akan dilakukan oleh barisan kejurulatihan terhadap program latihan serta sikap pemain.
Ia bagi memastikan barisan perseorangan lelaki negara tidak terus ketinggalan dengan negara lain
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi beregu lelaki negara, Aaron Chiah - Soh Wooi Yik, di Piala Thomas, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, para atlet harus mengutamakan aspek mental sebelum Sukan Olimpik Paris 2024.
Kalau kita lihat prestasi Piala Thomas, Aaron dengan Soh bermain dengan baik dan kini saya tahu apa yang mereka perlukan bila mereka bermain di Olimpik Paris nanti. Minda dan keterujaan untuk mendapatkan pingat itu mesti ada seperti Datuk Azizul, itu yang paling penting, kata Hannah.