fb fb fb fb fb

Piala Thomas 2024: Zii Jia tidak berlatih bersama skuad negara

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 April -Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan berlatih bersama skuad kebangsaan dalam persediaan menjelang saingan badminton Piala Thomas 2024 Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei depan.

Pemain di ranking ke 11 dunia itu sebaliknya akan meneruskan program latihan yang telah dirancang oleh Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng.

Menurut kenyataan di akaun X Team LZJ, program latihan bebas itu telah dibincangkan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ia turut mendapat persetujuan daripada Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dan Pengarah Pentadbiran ABM, Michelle Chai.

Selain Zii Jia, empat pemain perseorangan yang tersenarai adalah iaitu Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Acara beregu pula dibarisi juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal Nazri.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Sementara itu, Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan di ABM Bukit Kiara berkata beliau sudah mengetahui perancangan berkenaan ketika mengadakan pertemuan dengan Team LZJ baru-baru ini.

"Kita harus fikir bagaimana untuk berkompromi dengan perkara ini. Sebab persiapan Piala Thomas tiada kena-mengena dengan Olimpik Paris.

"Saya percaya dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Team LZJ, menandakan Zii Jia mempunyai semangat untuk bermain mewakili negara", kata Rexy.

Mengulas mengenai latihan kem bina semangat di luar ibu negara, Rexy berkata ia pasti lebih berkesan sekiranya disertai seluruh ahli pasukan berbanding beberapa pemain sahaja dalam mendapatkan rentak permainan berkumpulan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD