PETALING JAYA, 2 Ogos - Aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2025/2026 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala Sumbangsih bukan sekadar perebutan trofi, sebaliknya dianggap sebagai pembakar semangat Selangor FC untuk mengharungi musim baharu, kata bintang sensasi pasukan, Faisal Halim.
Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkata perlawanan berprestij itu akan menjadi medan terbaik membina momentum selain menguji kesiapsiagaan skuad Gergasi Merah sebelum mengharungi musim yang dijangka mencabar.
Piala Sumbangsih antara JDT dan Selangor FC akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 Ogos ini.
"Kita sudah membuat persiapan lebih dua bulan dan semua pemain bersedia beraksi. Kita ke sana untuk mendapatkan keputusan positif. Dalam bola sepak, tiada yang mustahil," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Siri Jelajah Publisiti The Sultan of Selangor’s Cup (TSSC), hari ini.
Faisal berkata perlawanan Piala Sumbangsih itu dijangka menjadi titik tolak kepada Selangor untuk melakar pencapaian lebih cemerlang musim ini.
TSSC atau Kejohanan Piala Sultan Selangor antara Selangor dan Singapura akan berlangsung pada 27 September ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar berkata TSSC bukan sekadar perlawanan biasa, sebaliknya acara simbolik yang membangkitkan nostalgia kegemilangan bola sepak tanah air era 1970-an.
Perlawanan antara Selangor dan Singapura pernah menjadi sorotan utama bola sepak negara apabila kedua-dua pasukan bertemu sebanyak 23 kali dalam final Piala Malaysia, dengan Selangor memenangi 12 daripadanya.
Perlawanan Piala Sultan Selangor edisi ke-21 tahun itu akan bermula dengan aksi Veteran Selangor menentang Veteran Singapura diikuti perlawanan utama antara Pilihan Selangor berdepan Pilihan Singapura.
Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak 10 kali iaitu pada tahun 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018, 2019 dan 2024.
Pilihan Singapura pula telah menjuarai Piala Sultan Selangor sebanyak 7 kali iaitu pada tahun 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017, manakala tahun 2004 kedua-dua pasukan diisytihar juara bersama. - BERNAMA