SUBANG JAYA, 2 Ogos – Tiket bagi perlawanan bola sepak ikonik The Sultan of Selangor’s Cup (TSSC) atau Piala Sultan Selangor 2025 mula dijual hari ini selepas majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar di Sunway Pyramid.
Edisi ke-21 kejohanan itu dijadual berlangsung pada 27 September ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur lokasi bersejarah yang kembali dipilih menjadi gelanggang perlawanan buat tahun kedua berturut-turut.
Tahun lalu stadium sama menjadi saksi kehadiran lebih 20,000 penyokong meskipun dalam keadaan hujan lebat, menyaksikan Selangor mengatasi Singapura 2-1 dan mencipta kemenangan hatrik tiga tahun berturut-turut bagi 2019, 2023 dan 2024.
Menurut Tan Sri Abd Karim, TSSC bukan sekadar perlawanan biasa, sebaliknya menjadi acara simbolik yang menghimpunkan semangat persaudaraan dan nostalgia bola sepak tempatan antara dua kuasa besar serantau – Selangor dan Singapura yang pernah bertemu sebanyak 23 kali di pentas akhir Piala Malaysia.
“Pada tahun ini juga kita telah buat persiapan yang rapi dari segi penganjuran Piala Sultan Selangor, seperti tahun lepas kita kekalkan keunikkan Piala Sultan Selangor terus berjalan seperti biasa macam tahun lepas kita ada payung terjun dan beberapa persembahan dari artis tanah air,” katanya.
Beliau turut menjangkakan permintaan tinggi terhadap tiket berdasarkan sambutan luar biasa tahun lalu, dan menasihati para penyokong untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan kapasiti Stadium Merdeka yang terhad.
Tiket mula dijual pada harga RM15 untuk tempat duduk biasa dan RM40 bagi tempat duduk grandstand, manakala jersi rasmi TSSC 2025 ditawarkan pada harga RM30 sehelai. Penjualan boleh didapati di beberapa lokasi terpilih termasuk Restoran Uncle K di SACC Mall Shah Alam, Concorde Hotel Kuala Lumpur dan Concorde Hotel Shah Alam.
Pihak penganjur turut menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan Monorel yang akan melanjutkan operasi sehingga jam 12.30 tengah malam pada hari perlawanan.
Perlawanan malam itu akan dimulakan dengan aksi Veteran Selangor menentang Veteran Singapura pada pukul 8 malam, diikuti pertembungan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura pada jam 9 malam.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi yang bakal merasai pengalaman sulung dalam kejohanan ini, mengakui teruja dengan keunikan format perlawanan yang mempertemukan pasukan kelab dengan pasukan kebangsaan.
"Saya sangat besar hati untuk bermain perlawanan seperti ini di sini menentang pasukan kebangsaan. jadi bermain menentang pasukan kebangsaan kali pertama untuk menonton dan kadang-kadang bermain, jadi saya sangat gembira,” katanya.
Setakat ini, Pilihan Selangor telah muncul juara sebanyak sepuluh kali dalam sejarah kejohanan, manakala Pilihan Singapura menjuarai tujuh edisi. Pada tahun 2004, kedua-dua pasukan dinobat sebagai juara bersama.