fb fb fb fb fb

Terbuka Macau 2025: Tiga wakil negara mara ke final

Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mara ke final / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Harapan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk menamatkan kempen Terbuka Macau 2025 dengan kejuaraan lebur selepas dikejutkan pasangan Denmark Mathias Christiansen-Alexandra Boje pada aksi separuh akhir hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Macao East Asian Games Dome, menyaksikan Tang Jie- Ee Wei yang turun sebagai pilihan utama kejohanan, terlebih dahulu menguasai set pembukaan 21-15 namun gagal mengekalkan rentak sebelum akur 17-21, 11-21 dalam pertarungan selama 54 minit.

Namun kekecewaan Tang Jie-Ee Wei ditebus beregu campuran negara Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang mempamerkan aksi bertenaga menundukkan pilihan keenam dari Indonesia Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 21-18, 21-16, untuk menempah tiket ke pentas final menentang Christiansen-Boje.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara Justin Hoh meneruskan kemaraan cemerlang apabila bangkit menewaskan wakil India Tharun Mannepalli 19-21, 21-16, 21-16 dalam pertarungan epik selama 81 minit, sekaligus menjadi kemenangan kedua Justin dalam tiga pertemuan menentang Tharun.

Beliau seterusnya akan membuat perhitungan dengan Alwi Farhan dari Indonesia yang sebelum ini menundukkan pilihan kedua kejohanan Lakshya Sen dari India, 21-16, 21-9.

Turut mara ke final ialah beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan rakan senegara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 21-13, 21-15 dalam masa hanya 34 minit.

Gandingan itu akan bertemu antara pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani atau pasangan Taiwan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen pada perlawanan akhir esok. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN