fb fb fb fb fb

Piala Sumbangsih diteruskan mengikut jadual - MFL

Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Selangor FC (SFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, diteruskan Jumaat ini sebagaimana dijadualkan / Foto FB MFL

KUALA LUMPUR, 9 Mei - Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara Selangor FC (SFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, diteruskan Jumaat ini sebagaimana dijadualkan.

Pengesahan dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL), selepas mendapat jaminan keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

MFL turut memaklumkan, semua aksi Liga-M yang dijadual berlangsung pada minggu pertama, turut akan dijalankan mengikut jadual.

“Jaminan keselamatan kepada pemain dan penyokong bagi Perlawanan Sumbangsih antara JDT dan SFC sudah diberikan oleh Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar yang mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas,”menurut MFL menerusi kenyataan.

Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memaklumkan akan membantu Polis Johor dalam memastikan tiada insiden di luar jangkaan berlaku sepanjang perlawanan Piala Sumbangsih.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi jaminan perlawanan yang akan berlangsung pada Jumaat itu, boleh diteruskan.

"Saya akan melakukan seberapa banyak risikan yang boleh membantu pihak kontinjen johor bersiap sedia, kita harap tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Nasihat saya kepada penyokong, ia tidak melibatkan pasukan yang bermain. Jadi tidak perlu ada rasa emosi di antara pasukan sedangkan ini berlaku secara rawak," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN