fb fb fb fb fb

Piala Sultan Haji Azlan Shah: Malaysia tewas 2-1 kepada Jepun

Malaysia tewas 2-1 kepada Jepun dalam Piala Sultan Azlan Shah dalam pertemuan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, malam tadi

IPOH, 9 Mei- Skuad hoki negara gagal mencipta hatrik kemenangan selepas tewas 2-1 kepada Jepun dalam Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-30 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini, malam tadi.

Selepas empat perlawanan, skuad negara berada di tangga ketiga dengan tujuh mata.

Jaringan pertama skuad Samurai diperoleh pada minit ke-24 ketika keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Malaysia.

Kazumasa Matsumoto mudah menolak masuk hantaran Kosei Kawabe menewaskan penjaga gol The Speedy Tigers, Hafizuddin Othman.

Bersambung separuh masa kedua, skuad pimpinan Sarjit Kundan meningkatkan rentak permainan bagi mencari gol penyamaan. 

Usaha itu akhirnya berjaya menerusi jaringan padang Faizal Saari pada minit ke-31.

'The Speedy Tigers' memperoleh beberapa pukulan sudut penalti namun berjaya dinafikan penjaga gol pelawat Takashi Yoshikawa.

Berbaki 10 minit sebelum tamat perlawanan, Jepun menambah satu lagi jaringan menerusi pukulan Ryoma Ooka sekali gus memastikan kemenangan pasukan itu.

Dalam pada itu, Takashi Yoshikawa dipilih pemain terbaik perlawanan Malaysia dan Jepun.

Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan pada Jumaat ini.

SITI AISHAH MD ISA