KUALA LUMPUR, 8 Mei- Isu tomahan terhadap pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjejaskan kredibiliti Datuk Hamidin Mohd Amin selaku pegawai tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
Beliau menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai jasanya kepada bola sepak negara.
Datuk Hamidin berkata selaku presiden beliau sudah melakukan yang terbaik.
"Saya sudah lakukan untuk bola sepak sepenuh jiwa saya. Saya tidak tahu apa pandangan orang lain tetapi bagi saya, saya ok. Saya tahu apa saya buat."
"Netizen sentiasa ada yang ingin diperkatakan tetapi saya sebagai ketua, saya tahu bila saya patut pergi dan apa yang saya perlu lakukan. Itu yang penting, saya tak boleh ikut kata orang," kata Hamidin kepada pemberita.
Beliau juga memberi bayangan mahu terus menerajui badan induk itu kerana terdapat misi yang masih perlu diselesaikan.
"Saya harap NTC (Pusat Latihan Kebangsaan) akan beroperasi tidak lama lagi, juga pejabat Wisma FAM (baharu) serta harapnya kita dapat melayakkan diri pada Jun ini untuk pusingan ketiga untuk mencipta sejarah yang lain untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia, itu tidak pernah dalam sejarah Malaysia," tambahnya.
Datuk Hamidin dilantik sebagai presiden FAM bermula penggal 2018-2021 dan mengekalkan jawatan tanpa dicabar bagi penggal 2021-2025.