fb fb fb fb fb

Piala Sumbangsih: Selangor FC ambil keputusan tidak hadir

Selangor FC (SFC) nekad mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Mei - Selangor FC (SFC) nekad mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

SFC dalam satu kenyataan menegaskan keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman dan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan.

Keputusan tersebut diambil selepas pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan SFC menangguhkan perlawanan itu.

“Selangor FC telah mengambil maklum keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei ini.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbicangan terperinci dengan pelbagai pihak…pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan,” menurut kenyataan itu.

Tambah SFC, keputusan untuk tidak hadir itu selepas penelitian dijalankan berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam sebelum ini.

Pada Ahad lepas, negara digemparkan dengan insiden pemain kebangsaan Faisal Halim yang juga pemain sayap Selangor FC disimbah asid di pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor sehingga menyebabkan kelecuran tahap empat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN