fb fb fb fb fb

Piala Sultan Selangor 2025 terima tajaan RM1.5 juta

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah hari ini berkenan menerima sumbangan penajaan kira-kira RM1.5 juta bagi Penganjuran Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 /Foto RTM

KLANG, 28 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah hari ini berkenan menerima sumbangan penajaan kira-kira RM1.5 juta bagi Penganjuran Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 27 September di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Hadir mengiringi baginda adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Antara penaja utama ialah Kerajaan Negeri Selangor dengan sumbangan RM1.05 juta, beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk MBI, PNSB dan KDEB Waste Management masing-masing menyalurkan RM100,000 manakala TNB, Air Selangor dan KUSEL menyumbang RM50,000.

Pengerusi merangkap Pengurus Pasukan TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kejayaan mengumpulkan tajaan berkenaan membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri, GLC dan sektor swasta dalam menjayakan perlawanan simbolik hubungan persahabatan Selangor-Singapura.

"kita berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kepada Menteri Besar kepada semua pihak GLC yang telah menyumbang dan juga pihak swasta dan juga kepada semua.

"Sebab kejayaan Piala Sultan Selangor ini bergantung kepada semua sumbangan semua pihak' katanya.

Tambah beliau, penganjuran kali ini turut menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa dua buah kereta Perodua Bezza, telefon pintar dan pakej penginapan eksklusif sebagai sebahagian daripada hadiah cabutan bertuah Piala Sultan Selangor.

Jelas Abd Karim, Piala Sultan Selangor bukan sekadar perlawanan bola sepak, sebaliknya ia menghidupkan semula nostalgia semangat perseteruan klasik Selangor-Singapura dalam Piala Malaysia, sekali gus mengekalkan warisan bola sepak antara dua seteru tradisi itu.

Acara akan bermula pukul 8.00 malam dengan perlawanan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura, diikuti aksi utama Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura pada pukul 9.00 malam.

Sementara itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula diumumkan sebagai penyiar rasmi perlawanan melalui penyerahan replika logo oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik, Nasaruddin Abdul Muttalib.

Sejak diperkenalkan pada 2001, Selangor muncul 10 kali juara manakala Singapura meraih tujuh gelaran, selain satu gelaran bersama pada 2004.

Tahun lalu, lebih 20,000 penyokong membanjiri Stadium Merdeka menyaksikan Selangor menewaskan Singapura 2-1.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD