ROME, 28 Ogos – Pengurusan Serie A Itali dan La Liga Sepanyol membalas kritikan Pesuruhjaya Sukan Kesatuan Eropah (EU), Glenn Micallef, yang menyifatkan rancangan mengadakan perlawanan domestik di luar Eropah sebagai “pengkhianatan” terhadap penyokong.
Serie A merancang menganjurkan perlawanan AC Milan menentang Como di Perth, Australia, pada Februari depan, manakala La Liga berhasrat memindahkan aksi Villarreal menentang Barcelona ke Miami, Amerika Syarikat, Disember ini.
“Saya amat kecewa dengan cadangan menganjurkan perlawanan liga domestik di luar Eropah.
"Bagi saya jelas: bola sepak Eropah mesti kekal di Eropah. Ini bukan inovasi, tetapi pengkhianatan,” tulis Micallef di media sosial, pada Rabu.
Pengurusan Serie A dalam kenyataannya melahirkan rasa “terkejut” dengan komen tersebut dan menegaskan Micallef meremehkan kepentingan strategi mempromosikan bola sepak Itali ke peringkat global.
“Menggelarnya sebagai pengkhianatan hanya kerana satu perlawanan daripada 380 perlawanan Serie A adalah keterlaluan dan boleh mencetuskan perdebatan populis,” kata liga itu.
“Perlawanan di luar negara bukan bermaksud mengeksport keseluruhan liga, sebaliknya memperkenalkan bola sepak Itali kepada penonton baharu di seluruh dunia.
"Dengan sedikit pengorbanan daripada penyokong Milan dan Como, mereka akan mendapat manfaat daripada peningkatan populariti global", tambah kenyataan itu lagi.
Presiden LaLiga, Javier Tebas, pula berkata ribuan peminat di seluruh dunia, termasuk di Eropah, berhak melihat pasukan kegemaran mereka beraksi secara langsung.
“Kita bercakap tentang satu perlawanan daripada 380 perlawanan.
"Saya hairan tiada kebimbangan yang sama terhadap projek seperti liga NBA-FIBA Eropah yang lebih mengganggu model sukan Eropah, atau isu cetak rompak yang merugikan banyak liga profesional,” katanya di platform X.
Meskipun rancangan itu telah mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) dan Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), ia masih memerlukan kelulusan UEFA dan FIFA sebelum dapat dilaksanakan. - REUTERS