KLANG, 28 Ogos – Penganjuran Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 bukan sahaja diperkukuh dengan tajaan kewangan, malah mendapat sokongan media apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi diumumkan sebagai penyiar rasmi kejohanan berprestij itu.
Pengerusi merangkap Pengurus Pasukan TSSC, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata komitmen RTM sejak tahun lalu membuktikan peranan media sangat penting dalam menjayakan penganjuran sukan, khususnya bola sepak yang menjadi platform penyatuan masyarakat berbilang kaum.
“ Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, yang terus menyokong Piala Sultan Selangor sebagai penyiar utama sejak tahun lalu. Ini sangat bermakna kerana media memainkan peranan besar dalam menjayakan acara sukan, khususnya bola sepak,” katanya pada majlis penyampaian penajaan di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.
Beliau menyatakan perkara berkenaan pada majlis penyampaian sumbangan penajaan di Istana Alam Shah, Klang.
Edisi ke-21 kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 27 September di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, turut menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM1.5 juta, termasuk sumbangan utama RM1.05 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor, selain sokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
Pertemuan tradisi antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura dijangka menjadi tumpuan acara kemuncak, sekali gus menghidupkan semula semangat perseteruan klasik bola sepak dua seteru tradisi itu.