KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Malaysia mencatat sejarah membanggakan di pentas antarabangsa apabila pemanah muda berkuda negara, Abu Bakr Muhammad Akmal, meraih tempat ketiga keseluruhan dalam Kejohanan Memanah Berkuda Dunia ke-17 yang berlangsung di Ulaan Baatar, Mongolia, baru-baru ini.
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan 73 pemanah berkuda terbaik dunia dari 15 negara, termasuk Arab Saudi, Mongolia, Turkiye, Hungary dan Jepun, sekali gus menjadikannya antara pertandingan paling kompetitif dalam kalendar memanah berkuda dunia.
Pemanah berusia 13 tahun itu menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, menewaskan peserta yang lebih berusia dan berpengalaman untuk menempatkan diri di podium. Gelaran juara keseluruhan menjadi milik Arab Saudi, manakala Mongolia meraih tempat kedua.
Acara yang dianjurkan di Ulaan Baatar Horseback Archery Centre itu turut memperkenalkan cabang baharu, Bumbug Namnaa, selain tiga disiplin utama iaitu Korean Style, Hungarian Style, dan Tower Style yang menguji ketangkasan dan kawalan pemanah di atas kuda.