KUALA LUMPUR, 19 September – Piala Sultan Selangor (PSS) edisi ke-21 kembali menggegarkan Stadium Merdeka pada 27 September ini dengan pertembungan klasik antara pasukan Selangor dan Singapura.
Ia sekali gus menghidupkan semula nostalgia bola sepak serantau.
Pengerusi dan Pengurus Pasukan PSS 2025, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata kejohanan itu dianjurkan bukan sekadar hiburan, tetapi untuk mengekalkan legasi bola sepak lama yang pernah mencetus fenomena.
“Idea penubuhan Piala Sultan Selangor adalah untuk mengembalikan sejarah lama, di samping mengeratkan hubungan erat antara Selangor dan Singapura serta memberi peluang kepada peminat kedua-dua pihak menyaksikan perlawanan legasi hebat ini,” ujar beliau ketika ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di sini
Selain aksi utama, edisi kali ini turut menampilkan perlawanan veteran yang dibarisi legenda bola sepak seperti Zainal Abidin Hassan dan bintang Singapura, Fandi Ahmad.
Acara turut diserikan dengan persembahan hiburan, pertunjukan bunga api serta cabutan bertuah menawarkan hadiah termasuk dua buah kereta, telefon pintar dan pakej penginapan hotel.
Tiket dijual pada harga RM15 untuk tempat duduk biasa dan RM40 bagi grandstand, manakala jersi rasmi PSS 2025 ditawarkan pada harga RM30.
