KUALA LUMPUR, 18 September - Atlet panjat dinding negara, Renee Tan Sui Lin tetap optimis mampu melakar kejayaan pada Sukan SEA hujung tahun ini biarpun masih dalam pemulihan daripada kecederaan ligamen.
Atlet itu akan turun beraksi dalam disiplin bouldering, acara yang paling digemarinya sejak mula menceburi sukan tersebut.
“Bouldering ni lebih dinamik, banyak pergerakan ‘flashy’ and powerful. Saya rasa gaya itu lebih sesuai dengan kekuatan saya berbanding daya tahan,” katanya.
Bagaimanapun, Renee mengakui persiapan kali ini tidak mudah selepas berdepan masalah kecederaan lutut sejak awal tahun.
Hasil pemeriksaan mendapati beliau mengalami kecederaan separa koyakan ligamen krusiat belakang (PCL) selain cyst pada bahagian lutut.
“Sekarang saya fokus pada strengthening dan rehab. Kaki memang bahagian paling lemah, jadi banyak fisioterapi dan latihan pemulihan dijalankan,” jelasnya.
Mengulas peluang Malaysia di Sukan SEA, Renee percaya skuad panjat dinding berupaya menyaingi kuasa besar seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Sasaran semestinya podium, tapi apa-apa boleh berlaku. Yang penting kami semua akan cuba beri yang terbaik untuk sampai ke final,” katanya.
Bagi persiapan, Renee yang kebanyakannya berlatih sendiri tetap mengamalkan program periodisasi bermula dengan fasa loading, diikuti peningkatan intensiti dan simulasi pertandingan menjelang kejohanan utama.
Beliau turut menyasarkan dua kejohanan antarabangsa sebagai medan pemanas badan sebelum turun ke pentas Sukan SEA, Thailand.