fb fb fb fb fb

Hannah pertahan Cheah Liek Hou

Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 18 September - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan jaguh para-badminton negara, Cheah Liek Hou tidak wajar dijadikan mangsa dalam isu kelewatan pembayaran insentif kemenangan pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024.

Beliau berkata demikian susulan tindakan tunjuk sebab yang dikeluarkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) terhadap atlet itu.

“Ini bukan cara kita melayan atlet yang telah mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Liek Hou seorang atlet rajin dan setiap kali bertanding, beliau membawa pulang pingat untuk negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Hannah menegaskan, apa yang dilakukan Liek Hou hanyalah menuntut janji selepas setahun memenangi emas di Paris dan tidak melanggar disiplin.

“Beliau tidak melanggar mana-mana garis disiplin. Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hannah menegaskan Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya Majlis Sukan Negara (MSN).

“Apa-apa keputusan mengenai kedudukan Liek Hou bukan di tangan MPM semata-mata. MPM tidak berhak bertindak sendiri,” katanya.

Terdahulu, isu insentif tertunggak sebanyak RM60,000 yang dijanjikan kepada Liek Hou selepas meraih emas di Paris mencetuskan kontroversi apabila atlet itu meluahkan rasa kecewa di media sosial hingga mengundang reaksi MPM.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN