fb fb fb fb fb

MPM nafi tuduhan atlet

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 September - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menafikan tuduhan seorang atlet para negara yang mendakwa ditipu badan sukan itu, sekali gus menyifatkan kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan reputasi.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata kenyataan terbuka seperti itu telah memberi kesan negatif kepada imej organisasi yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU).

“Tidak ada sesiapa yang lebih besar daripada negara atau organisasi. Tuduhan ini memalukan dan memberi kesan kepada usaha kami mendapatkan penaja,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, MPM akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum mempertimbangkan tindakan penggantungan.

Malah, isu berkenaan turut akan dirujuk kepada penasihat undang-undang bagi melindungi kredibiliti organisasi dan penajanya.

Tambah beliau lagi, setiap atlet perlu menggunakan saluran yang betul sekiranya berdepan masalah dan tidak perlu mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan nama baik organisasi dan penaja.

Pada masa sama, MPM turut menjelaskan jumlah sebenar insentif tunai yang diterima atlet para negara daripada penaja adalah RM55,000, bukannya RM60,000 seperti dakwaaan sebelum ini.

Mengikut pecahan, dua penerima emas pada sukan Paralimpik Paris 2024, Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin masing-masing menerima RM25,000, manakala Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli menerima RM15,000 setiap seorang.

“Semua sumbangan adalah amanah daripada penaja. MPM tidak mengambil satu sen pun, sebaliknya memastikan ia sampai terus kepada atlet,” katanya.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN