fb fb fb fb fb

Messi lanjut kontrak bersama Inter Miami

Foto AFP

MIAMI, 19 September – Bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi dilaporkan bersetuju untuk melanjutkan kontraknya bersama Inter Miami.

Ia sekali gus memastikan beliau terus beraksi dalam Major League Soccer (MLS) sehingga selepas Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang, menguatkan lagi spekulasi bahawa pemain berusia 38 tahun itu bakal menamatkan kerjayanya di pentas bola sepak profesional bersama kelab MLS tersebut.

Messi menyertai Inter Miami pada tahun 2023 selepas musim yang mengecewakan di Paris Saint-Germain.

Meski kelab diwakilinya kini gagal mara jauh dalam playoff musim lalu, Messi tetap dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) MLS bagi musim 2024.

Tahun ini, Messi mencipta satu lagi rekod apabila menjadi pemain terpantas menjaringkan 40 gol dalam sejarah MLS, satu pencapaian yang terus mengukuhkan legasinya sebagai antara pemain terhebat sepanjang zaman.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN