PETALING JAYA, 15 November - Pemain skuasy wanita nombor satu negara, S Sivasangari, terus membuktikan kehebatannya apabila mengatasi rakan senegara Aifa Azman pada aksi suku akhir Piala Skuasy Malaysia 2024 di Damansara di sini hari ini.
Sivasangari berjaya menambah rekod kemenangan 4-0 ke atas Aifa.
Pemain nombor sembilan dunia itu mendominasi perlawanan dengan 11-9,11-3 dan11-6, sekaligus mara ke separuh akhir Jelajah Skuasy Persatuan Skuasy Profesional.
Sivasangari, 25, akan membuat perhitungan dengan Georgia Adderley dari Scotland untuk menempah slot ke perlawanan akhir.
Georgia Adderley (kanan) menumpaskan Aira Azman /Foto RTM
Terdahulu Adderley menewaskan adik Aifa, iaitu Aira dengan keputusan 11-4, 11-7, 11-13, 11-7 dalam satu lagi saingan suku akhir.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain hanya bertemu sekali dengan Sivasangari memenangi perlawanan 11-9, 6-11 dan 11-9 pada suku akhir Terbuka China, baru-baru ini.