KUALA LUMPUR, 15 November - Ketua jurulatih lompat jauh para negara, Shahrul Amri Suhaimi bercadang untuk menyerap pemenang pingat emas lompat jauh lelaki T20 Para Sukan Malaysia 2024 (SUKMA) Sarawak baru-baru ini, Eljoe Gotouh dalam skuad kebangsaan.
Menurutnya, atlet dari Sabah itu mempunyai bakat sebagai pelapis bagi mengantikan, Datuk Abdul Latif Romly.
Eljoe sebelum ini mencatat 7.02 meter (m) ketika beraksi di Para SUKMA Ogos lalu.
Shahrul Amri berkata, antara strategi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi atlet berkenaan ialah memantapkan jarak lompatan sekurang-kurangnya 0.30 hingga 0.40m daripada catatan peribadinya.
"Untuk pelapis Datuk Abdul Latif.. kita harapkan Eljoe dari Sabah di mana rekod peribadinya sudah sampai 7m.
"Kita akan gilap untuk rapatkan (jarak lompatan) dengan Datuk Abdul Latif.
"Kita nak atlet negara kita untuk kategori T20 ni ada dua orang.. kita sasar untuk di Olimpik Los Angeles 2028 nanti," katanya ditemui selepas sesi pascanilai Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024.
Pihaknya kini sedang menunggu 'lampu hijau' daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyerap atlet dari Sabah itu ke dalam kem olahraga para kebangsaan tahun depan.