fb fb fb fb fb

Piala Shopee: JDT buru kemenangan tanpa bolos menentang Bangkok United

Foto FB JOHOR Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 24 September- Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) memburu kemenangan serta menyasarkan rekod tanpa bolos menentang Bangkok United FC menjelang aksi Kejohanan Kelab Asia Piala Shopee, petang esok.

Ketua Jurulatih, Xisco Munoz menegaskan kelebihan bermain di laman sendiri mampu mengangkat mentaliti serta momentum Harimau Selatan.

"Perlawanan esok akan menampilkan situasi berbeza. Penting untuk membuat perancangan rapi dan memberi tumpuan dalam mengekalkan rekod tanpa bolos.

Kami sedar akan kualiti mereka, jadi kami perlu lebih kukuh dalam bertahan serta menyerang," kata Munoz kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Bangkok United FC, Totchtawan Sripan, bagaimanapun tetap optimis anak buahnya mampu menyekat kemaraan juara Liga Super Malaysia 11 kali berturut-turut itu.

Meskipun mengiktiraf JDT sebagai jaguh Asia Tenggara, namun, gelaran tersebut tidak menggugat keyakinan pasukan Thai berkenaan.

"Pertama kali hadir ke sini beraksi menentang Johor. JDT merupakan antara kelab terbaik di Asia, dengan barisan pemain berkualiti tinggi.

Namun sepanjang dua tahun lalu, kami sudah berdepan pasukan handal di Asia dan Malaysia, sekali gus yakin memiliki pengalaman untuk menanganinya," jelas Sripan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM