fb fb fb fb fb

11 atlet taekwondo Kedah sertai Kejuaraan Antarabangsa di Yogyakarta

Kejohanan tersebut bakal berlangsung di Universiti Negeri Yogyakarta, Indonesia, dari 3 hingga 5 Oktober depan.

ALOR SETAR, 24 September- Seramai 11 atlet taekwondo Kedah bakal menyertai Kejuaraan Taekwondo Terbuka Antarabangsa Pugnator Yogyakarta Sport Tourism 2025 yang akan berlangsung di Universiti Negeri Yogyakarta, Indonesia, dari 3 hingga 5 Oktober depan.

Kejohanan yang menghimpunkan penyertaan daripada 13 negara itu akan menyaksikan sembilan atlet negeri berkenaan beraksi dalam acara Kyorugi iaitu Allisha Zahra Mohd Ariff Fahmi, Nur Qaisara Aqilyea Mohd Shafakri, Qhayran Arish Mohd Yusof, Akif Khalis Shaiful Nizam, Adam Haiqal Abdul Mutalib, Muhamad Elfy Hakimi Shaiful Nizam, Zafran Muhammad Malique Mohd Hidham, Aimal Naqqiuddin Azrol dan Nurul Arisya Rosman.

Sementara itu, Siti Nur Aisya Insyirah Roslan akan bertanding dalam acara Poomsae.

Presiden KMTA Taekwondo Club, Sofan Feroza Md Yusup berkata kesemua atlet berusia antara 13 hingga 29 tahun itu dipilih bagi memberi pendedahan bersaing di peringkat lebih tinggi, selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa.

“Penyertaan kali ini membabitkan banyak negara termasuk Timor Leste dan Australia. Kami menaruh harapan agar atlet mampu beraksi dengan baik serta memperoleh pengalaman berharga.

Pingat itu rezeki, tetapi yang lebih penting adalah prestasi mereka di gelanggang,” katanya kepada pemberita selepas memantau sesi latihan akhir di Pusat Latihan KMTA, Taman Anggerik, malam tadi.

Kejuaraan berkenaan turut menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan taekwondo bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM