ABIDJAN, 20 Januari - Bintang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah dijangka terlepas dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Negara Afrika susulan kecederaan hamstring yang dialaminya pada Khamis ketika pasukannya, Mesir seri 2-2 dengan Ghana, kata Persekutuan Bola Sepak Mesir (EFA) dalam satu kenyataan pada Jumaat.
"Laporan X-ray mengesahkan pemain berkenaan mengalami kecederaan hamstring.
"Sehubungan itu, Salah dijangka terlepas untuk bermain menentang Cape Verde dan pusingan 16 terbaik sekiranya Mesir layak", tambah EFA dalam kenyataan.
Pada perlawanan menentang Ghana Khamis lalu, Salah terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama selepas mengalami kecederaan hamstring.
Pada awal Jumaat lalu, doktor pasukan Mesir, Mohamed Abu El-Ela mendedahkan Salah berhasrat untuk menyambung permainan, namun meminta dikeluarkan selepas kecederaannya bertambah teruk.
Sementara itu, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp membayangkan kecederaan yang dialami penyerang itu berkemungkinan serius memandangkan pemain itu sebelum ini jarang mengalami kecederaan.
"Saya telah bercakap dengannya (Salah) malam tadi berkenaan kecederaan yang dialaminya.
"Pasukan perubatan sedang meneliti dan menilai kecederaan yang dialaminya bagi membolehkan kami mengetahui perkara sebenar yang berlaku", kata Klopp kepada pemberita.
" Buat masa ini, dia (Salah) sangat terkejut dengan kecederaan yang dialaminya.
"Kita tahu, dia (Salah) jarang mengalami kecederaan. Namun, kami masih belum ada maklumat tentang kecederaan yang dialaminya", kata Klopp lagi.
Kehilangan Salah merupakan tamparan kepada pasukan Mesir yang merupakan juara tujuh kali Piala Negara Afrika sebelum ini.
Mesir memulakan kempen dengan keputusan hambar selepas hanya mampu seri 2-2 dengan Ghana Khamis lalu.
Pasukan Mesir berdepan misi perlu menang menentang Kepulauan Cape Verde bagi meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.-REUTERS