fb fb fb fb fb

Piala Negara Afrika :Jaringan Haller bantu Ivory Coast juara

Foto Reuters

ABIDJAN, 12 Februari - Jaringan kemenangan oleh Sebastien Haller memastikan pasukan tuan rumah, Ivory Coast menewaskan Nigeria 2-1 sekali gus membantu pasukan itu menjulang kejuaraan Piala Negara Afrika buat kali ketiga pada final yang diadakan di stadium Alassane Ouattara pada Ahad.

Kejayaan itu menebus kembali persembahan buruk Ivory Coast di peringkat kumpulan apabila mencatatkan dua kekalahan termasuk dimalukan oleh Equatorial Guinea 4-0.

Namun, pasukan Ivory Coast kembali mempamerkan prestasi menakjubkan di peringkat kalah mati berbekalkan semangat tidak menyerah kalah untuk menjulang kejuaraan.

Pada perlawanan berkenaan, Nigeria terlebih dahulu berada di hadapan apabila tandukan William Troost-Ekong pada minit ke-38 berjaya menerjah masuk ke gawang Ivory Coast bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pasukan tuan rumah, Ivory Coast yang mendapat sokongan padu dari para penyokong kemudiannya melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol penyamaan.

Usaha pasukan berkenaan berhasil apabila Franck Kessie berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas merembat masuk hasil sepakan 'set-piece' yang dimiliki pada minit ke-62.

Pasukan Ivory Coast yang sebelum ini memenangi perlawanan pada minit-minit akhir berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi Sebastien Haller pada minit ke-81 selepas menyudahkan umpanan lintang Simon Adingra.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD