PARIS, 12 Februari- Pemain tengah Switzerland, Denis Zakaria menjaringkan dua gol untuk membantu Monaco menewaskan Nice 3-2 dalam aksi Ligue 1 pada Ahad untuk naik ke tangga ketiga dan dibezakan satu mata dengan seteru setempat di Cote d'Azur itu.
Pada aksi yang berlangsung di Allianz Riviera, Zakaria meletakkan Monaco di depan minit k-16 perlawanan sebelum Gaetan Laborde menyamakan kedudukan menerusi penalti selepas satu kekasaran oleh Thilo Kehrer.
Monaco kembali mendahului pada awal separuh masa kedua apabila Zakaria menanduk masuk hantaran lintang Takumi Minamino, dengan kapten Nice, Dante kemudian dibuang padang kerana kekasaran terhadap pemain antarabangsa Jepun itu.
Nice menyamakan kedudukan buat kali kedua, menerusi Evann Guessand tetapi Aleksandr Golovin memastikan kemenangan mutlak buat Monaco tiga minit berselang.
Kemenangan pertama Monaco dalam empat perlawanan membolehkan mereka meraih slot automatik terakhir kelayakan Liga Juara-Juara apabila mereka berada di atas Brest dan Lille, yang tewas 1-3 dalam pertemuan dengan pendahulu liga Paris Saint-Germain pada Sabtu.
Selepas 13 perlawanan tanpa kalah sejak memulakan musim, Nice kini mengalami kekalahan empat kali dalam lapan perlawanan terakhir membolehkan PSG melebarkan kelebihan 11 mata di puncak.-AFP