KUALA LUMPUR, 27 Disember - Sebanyak 32 pasukan mengambil bahagian dalam Piala MommyHana Safee Sali Superkids 2025 yang berlangsung di Stadium MPAJ, Pandan Perdana hari ini, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan daripada peserta serta komuniti bola sepak, khususnya di peringkat akar umbi.
Penganjurnya yang juga bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, berkata penganjuran kejohanan tersebut jelas memperlihatkan minat dan sokongan masyarakat terhadap bola sepak tempatan.
"Ya, ini sememangnya memberi semangat dan keyakinan kepada saya untuk memberi fokus ke peringkat akar umbi. Ia juga bertujuan memperkasakan serta memperkukuhkan sistem akar umbi dalam komuniti bola sepak Malaysia", katanya kepada pemberita selepas melancarkan Piala MommyHana Safee Sali Superkids 2025 di sini, hari ini.
Menurut Safee, kejohanan itu berperanan sebagai platform terbaik dalam mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, selain mengukuhkan pembangunan bola sepak di peringkat komuniti.
"Mungkin selepas ini akan ada perancangan yang lebih besar seperti penganjuran International Super Safee Cup.
"Diharapkan inisiatif ini dapat memberi semangat kepada saya serta seluruh komuniti akar umbi untuk terus bergiat aktif dalam bola sepak demi generasi masa hadapan," katanya.
Bagi edisi kali ini, kejohanan melibatkan lapan pasukan bagi setiap kategori bawah 8, 10, 12 dan 14 tahun, dengan penyertaan pasukan akademi serta kelab bola sepak kanak-kanak dari pelbagai peringkat umur.
Piala MommyHana Safee Sali Superkids 2025 turut dimeriahkan dengan suasana karnival dan pelbagai aktiviti mesra keluarga.