fb fb fb fb fb

Uganda, Tanzania berdepan perlawanan penentuan AFCON selepas kekalahan awal

Foto AFP

RABAT, 27 Disember – Dua seteru Afrika Timur, Uganda dan Tanzania bakal berdepan perlawanan penentuan dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 di Maghribi, selepas kedua-dua pasukan tewas dalam perlawanan pembukaan masing-masing.

Uganda tewas kepada Tunisia, manakala Tanzania tunduk kepada Nigeria, sekali gus menjadikan pertembungan Kumpulan C itu sebagai peluang terakhir untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik.

Ketua jurulatih Uganda, Paul Put, berkata perlawanan derbi itu merupakan aksi paling penting buat pasukannya setakat ini, dengan aspek mental dan pengurusan tekanan menjadi keutamaan.

Beliau menegaskan kemenangan amat diperlukan sekiranya Uganda mahu meneruskan kempen dalam kejohanan tersebut.

Pemain tengah Uganda, Allan Okello mengakui pasukannya tidak memulakan kejohanan seperti diharapkan, namun menegaskan sasaran utama kekal untuk melepasi peringkat kumpulan.

Sementara itu, ketua jurulatih Tanzania, Miguel Gamondi menyifatkan perlawanan berkenaan sebagai derbi seimbang yang akan ditentukan oleh disiplin taktikal, karakter dan ketenangan pemain.

Penyerang Tanzania, Simon Msuva pula mengakui tekanan tinggi menyelubungi pasukan selepas kekalahan awal, sambil menegaskan pasukannya tidak mampu menelan kekalahan kedua berturut-turut.

Dari segi rekod pertemuan, Uganda memiliki kelebihan dengan 33 kemenangan daripada 61 perlawanan, berbanding Tanzania yang mencatat 12 kemenangan.

Perlawanan penting itu dijadual berlangsung Sabtu di Stadium El Medina, Rabat, yang mampu memuatkan kira-kira 18,000 penonton.

AFCON edisi ke-35 menampilkan 24 pasukan dan berlangsung di Maghribi dari 21 Disember hingga 18 Januari. -VIORY

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN