fb fb fb fb fb

Piala Negara Afrika: Mali ikat Maghribi

FOTO REUTERS

RABAT, 27 Disember - Mali bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat tuan rumah, Maghribi 1-1 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Negara Afrika (AFCON) 2025 di Stadium Prince Moulay Abdellah di sini.

Keputusan itu meletakkan tuan rumah hanya selangkah untuk ke pusingan kalah mati.

Pada perlawanan berkenaan, Maghribi membuka tirai jaringan pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Brahim Diaz menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan bek kiri Mali, Nathan Gassama.

Namun, Mali yang digelar 'The Eagles' memperoleh sepakan penalti selepas sejam permainan apabila Lassine Sinayoko dijatuhkan oleh Jawad El Yamiq.

Sinayoko kekal tenang meskipun diasak sorakan penonton tuan rumah untuk menolak bola melepasi penjaga gol tuan rumah, Yassine Bounou.

Penjaga gol Mali, Djigui Diarra, memainkan peranan penting memastikan keputusan seri itu kekal apabila melakukan satu aksi menyelamat cemerlang menggunakan kaki untuk menafikan percubaan Youssef En-Nesyri.

Diarra sekali lagi cemerlang pada masa kecederaan apabila menghalang Woyo Coulibaly daripada menjaringkan gol sendiri, membolehkan pasukan Afrika Barat itu membawa pulang satu mata berharga.

Keputusan tersebut menyaksikan Maghribi mendahului Kumpulan A dengan empat mata, diikuti Mali dan Zambia yang masing-masing mengumpul dua mata, manakala Comoros berada di tangga tercorot dengan satu mata selepas seri 0-0 dengan Zambia dalam perlawanan terdahulu.

Pada saingan terakhir Kumpulan A, Morocco bakal berdepan Zambia di Rabat, sementara Mali kembali ke Casablanca untuk menentang Comoros dalam perlawanan penentuan kelayakan ke pusingan 16 terbaik. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD