fb fb fb fb fb

EPL: Gol tunggal Dorgu kukuhkan kedudukan Manchester United

Pemain pertahanan Manchester United, Patrick Dorgu / AFP

MANCHESTER, 27 Disember - Gol pertama Patrick Dorgu bersama Manchester United sudah memadai untuk memastikan kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle, sekali gus melonjakkan pasukan kendalian Ruben Amorim ke kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris.

United yang turun tanpa kelibat ketua pasukan Bruno Fernandes yang mengalami kecederaan, selain ketiadaan Bryan Mbeumo dan Amad Diallo yang menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Namun, perubahan peranan Dorgu oleh Amorim ternyata membuahkan hasil.

Pengurus Manchester United, Amorim membuat keputusan meninggalkan sistem kegemarannya 3-4-3, sebaliknya beralih kepada empat pertahanan, dengan Dorgu diberi peranan menyerang di sebelah kanan di belakang penyerang utama Benjamin Sesko.

Pemain antarabangsa Denmark itu menyempurnakan sepakan voli kaki kiri dengan kemas pada minit ke-24 selepas hantaran lintang Diogo Dalot ditepis ke udara, menewaskan penjaga gol Newcastle, Aaron Ramsdale.

Dorgu, 21, menjaringkan gol pertamanya sejak menyertai United dari Lecce hampir setahun lalu.

United berpeluang menamatkan perlawanan lebih awal apabila Sesko merembat ke arah palang gol dari sudut sempit, manakala Dalot mensia-siakan peluang hasil sepakan percuma Lisandro Martinez.

Ramsdale menafikan Dorgu daripada menambah jaringan sebelum rehat, namun United menerima tamparan apabila Mason Mount tidak dapat meneruskan perlawanan pada separuh masa kedua.

Pengendali Newcastle, Eddie Howe, turut mengubah formasi awal perlawanan bagi menyesuaikan diri dengan permulaan pantas United, namun masalah prestasi hambar di tempat lawan terus menghantui pasukannya.

Newcastle kini hanya mencatat dua kemenangan daripada 12 perlawanan di tempat lawan dalam semua pertandingan musim ini.

Newcastle menguasai hampir keseluruhan separuh masa kedua dengan mengepung United di kawasan sendiri, namun gagal memanfaatkan dominasi tersebut.

Cubaan terbaik Newcastle hadir menerusi Lewis Hall yang turut mengenai palang, sementara Anthony Gordon dan Lewis Miley melepaskan rembatan tinggi walaupun berjaya mencipta ruang dalam kotak penalti.

Kemenangan pertama di Old Trafford dalam tempoh dua bulan menyaksikan United mengumpul mata yang sama dengan Chelsea di tempat keempat, manakala Newcastle kekal di tangga ke-11.

Selepas beberapa aksi memberangsangkan tanpa kemenangan sebelum ini, United akhirnya berjaya meraih keputusan positif walaupun terpaksa bertahan hebat pada separuh masa kedua, sekali gus mencatat hanya rekod tanpa bolos kedua musim ini. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD