AGADIR, 27 Disember - Mohamed Salah meledak penalti untuk membantu Mesir menewaskan Afrika Selatan 1-0 di Agadir pada Jumaat, sekaligus menjadi pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati Piala Negara Afrika 2025.
Bintang Liverpool itu menyempurnakan penalti pada minit ke-45, manakala peluang penalti Afrika Selatan lewat babak kedua gagal diterjemahkan.
“Saya gembira dengan keputusan ini. Ia perlawanan sukar kerana mereka menguasai bola kebanyakan masa. Kami berjaya melaksanakan perancangan permainan dengan baik dan pulang dengan tiga mata, itu yang paling penting.” kata Salah.
Mesir bagaimanapun terpaksa bermain 10 orang selepas pertahanan kanan, Mohamed Hany, dilayangkan kad merah pada masa tambahan babak pertama.
Selepas dua perlawanan, Mesir kini mengumpul enam mata dan menjamin kedudukan di dua kedudukan teratas dalam Kumpulan B, manakala Afrika Selatan mengumpul tiga mata.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, dan Salah memuji disiplin pasukan dalam mengharungi perlawanan sukar itu, walaupun terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain.-AFP