fb fb fb fb fb

Piala Menteri Pendidikan Malaysia B-14: SMK Shah Alam mara ke suku akhir

Foto KPM

KUALA LUMPUR, 28 September - SMK Shah Alam meraih suntikan semangat apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas SMK Tabuan Jaya pada Sabtu sekali gus memastikan mereka layak beraksi di peringkat suku akhir kejohanan bolasepak Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2025 dengan rakan strategik 100PLUS.

Prestasi tidak menentu jelas meresahkan jurulatih, Lafizulnizam Abd Latip dan sedar hanya kemenangan ke atas SMK Tabuan Jaya sahaja akan memastikan pasukannya layak ke perlawanan suku akhir.

Melayan kunjungan SMK Tabuan Jaya dilaman sendiri, tuan rumah bagaimanapun terpaksa menanti sehingga minit ke 30 untuk membuka tirai gol.

SMK Seksyen 11 berjaya membuka tirai jaringan di awal permainan namun dibatalkan oleh pengadil perlawanan selepas Muhd Daryan Firdaus Zakwan Amhad Firdaus didapati berada dalam kedudukan offsaid.

Ia tidak mematahkan semangat juang tuan rumah dan akhirnya membuka tirai gol di minit ke 30 hasil serangan balas yang disudahkan Syed Shahir Aidil Syed Zahabi untuk kedudukan 1-0.

2909 SKN PIALA MENTERI PENDIDIKANFoto KPM

SMK Tabuan Jaya nyata sukar untuk melakukan serangan bagi memburu gol penyamaan apabila lebih banyak bertahan untuk menyerap asakan pemain pemain tuan rumah yang terus menggandakan asakan untuk memburu gol kedua.

Minit ke 45, kesilapan pertahanan anak didik Anndrew Bong dihukum SMK Seksyen 11 yang menjadikan kedudukan 2-0 hasil penyudah Muhd Daryan Firdaus Zakwan Ahmad Firdaus.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus memastikan tiga mata penting untuk SMK Seksyen 11 untuk melonjak ke tangga keempat Kumpulan A dengan 20 mata.

Kemenangan ini jelas melegakan Lafizulnizam namun masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan sebelum saingan suku akhir Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia bermula.

“Kami berjaya juga untuk dapatkan tiga mata walaupun bukan dalam keadaan prestasi yang terbaik tetapi kami bersyukur pemain pemain memanfaatkan peluang yang ada untuk dapatkan tiga mata.

“Untuk ke saingan seterusnya, kami perlu kekalkan tahap kecergasan dan keduanya adalah pastikan mereka bebas daripada kecederaan kerana perlawanan terakhir liga kami akan berdepan JDT (SMK Taman Desa Skudai B14),” kata Lafizulnizam.

Dalam pada itu pengendali SMK Tabuan Jaya, Andrew Bong melihat perkembangan yang positif ditunjukkan anak didiknya sepanjang musim ini

“Saya berterima kasih kepada pemain kerana mereka menunjukkan permainan yang baik tetapi bukan rezeki kita untuk meang pada hari ini (semalam).

“Perkara yang positif mereka tunjukkan adalah peningkatan dari segi kemahiran individu dan komunikasi dalam pasukan. Kita akan melakukan persediaan awal untuk hadapi musim hadapan,”kata Andrew Bong.

Untuk rekod, lima pasukan teratas Kumpulan A dan tiga pasukan daripada Kumpulan B akan beraksi di peringkat suku akhir Piala Menteri Pendidikan Malaysia B14 2025.

 

Kedudukan Pasukan

Kumpulan A

1. Akademi Mokhtar Dahari B14
2. SMK Taman Desa Skudai B14
3. SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman
4. SMK Seksyen 11
5. SMK Ibrahim Fikri

Kumpulan B
1. SMK Seri Titiwangsa
2. SMK Taman Desa Skudai B14 B
3. SSBJ

MOHAMAD KHAIRIE KHALID