KUALA NERUS, 4 November- Terengganu FC (TFC) melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini malam tadi.
Dengan kemenangan itu TFC akan berdepan dengan penyandang Piala Malaysia musim lepas, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Terdahulu, lebih 25,000 penyokong membanjiri stadium khususnya untuk penyokong tuan rumah, Terengganu FC (TFC).
Turut mencuri tumpuan, solidariti keprihatinan para penonton kepada Palestin dengan nyanyian lagu keamanan dipasangkan dan disambut penyokong tuan rumah dengan kibaran bendera negara berkenaan ketika sesi pemanas badan.
Babak pertama menyaksikan tuan rumah yang menguasai permainan terlebih dahulu menguji gawang pelawat menerusi percubaan daripada pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi, Sony Norde dan ketua pasukan Habib Haroon tetapi semuanya berjaya diselamatkan penjaga gawang pelawat, Kevin Mendoza yang beraksi cemerlang.
Namun, ketika babak pertama berbaki tiga minit barulah, Ivan Mamut berjaya mencetak gol pertama perlawanan untuk menceriakan lebih 25,000 penonton tuan rumah.
Bagaimanapun, kegembiraan penyokong skuad Penyu tidak bertahan lama apabila skuad bimbingan Menad Bacina berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 menerusi tandukan penyerang import, Romel Morales.
Tersentak dengan gol penyamaan, tuan rumah bangkit mengatur serangan dan Ivan menjaringkan gol kedua menerusi rembatan dari dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk (TFC) kembali mendahului KL City 2-1 hingga ke tiupan wisel penamat.