(Foto MFL)
KELANA JAYA, 7 November- Aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi menyaksikan juara 33 kali, Selangor FC meneruskan rentak cemerlang bawah kendalian pengendali baharu, Tan Cheng Hoe dengan menumpaskan Negeri Sembilan FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Beraksi di laman sendiri ternyata memberi kelebihan buat pasukan Selangor sekali gus membawa bekalan selesa buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 12 November ini.
Selangor FC bermula garang apabila mengasak bertali arus ke kubu pasukan lawan.
Deretan peluang yang dicipta jentera serangan Gergasi Merah berjaya ditepis dengan ketangkasan penjaga gol NSFC, Ahmad Syihan Hazmi sehingga pada separuh masa pertama dengan keputusan 0-0.
Bersambung separuh masa kedua, skuad Selangor akhirnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-52 selepas pertahanan NSFC, Herold Goulon mengasari Shahrul Nazeem sekali gus dilayangkan kad merah.
Penyerang Selangor FC, Herlison Caion berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut meskipun hampir ditepis Penjaga Gol NSFC.
Beraksi 10 pemain membuatkan skuad K. Devan semakin tempang dan Selangor berjaya menguasai perlawanan.
Hasilnya, pada masa tambahan,pemain gantian, Aliff Haiqal berjaya meledak gol kedua Selangor sekali gus memberi kemenangan selesa pasukan tuan rumah.
Sementara itu, misi Kuala Lumpur (KL) City FC untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia tampak sukar selepas tewas tipis 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) di laman sendiri.
Perlawanan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Gol tunggal perlawanan disempurnakan penyerang import Skuad Penyu, Kpah Sherman pada minit ke-14.
(Foto MFL)