KUALA LUMPUR, 6 November - Penyertaan di dua edisi temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) lepas tanpa pingat emas akhirnya membuahkan hasil buat atlet para Johor, Fakri Raimi Razak selepas mengungguli acara lontar peluru lelaki kategori F57 (kecacatan saraf).
Fakri, 34, yang bersaing bersama sembilan peserta lain dinobatkan sebagai juara selepas membuat lontaran sejauh 8.04meter (m) pada aksi di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil itu.
"Saya bersyukur dengan apa yang diusahakan selama ini berhasil dengan meraih kejayaan ini.
"Ini juga kejayaan paling manis pada temasya kali ini setelah tidak berhasil meraih emas bagi dua lagi acara lain disertai iaitu merejam lembing dan lempar cakera," katanya di sini.
(FOTO BERNAMA)
Menceritakan kunci kejayaan itu, Fakri berkata anak ketiganya Luth Zain yang lahir tiga bulan lalu menyuntik semangat buatnya untuk meraih emas tersebut.
"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada keluarga dan Luth.
“Lepas ini saya tidak ada perancangan untuk menyertai mana-mana kejohanan besar namun jika diberikan peluang, akan cuba membuat terbaik buat Johor pada Para Sukma akan datang,” katanya.
Pingat perak acara itu diraih atlet para Sabah, Elvsius John yang membuat lontaran 7.92m sementara gangsa menjadi milik atlet para Selangor, Aliff Shafiq Muhamad dengan lontaran 7.82m. - BERNAMA