KOTA KINABALU, 18 Januari - Sabah FC gagal mencapai misi meraih bekalan selesa pada separuh akhir pertama Piala Malaysia apabila terikat 1-1 dengan Sri Pahang FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, malam tadi.
Sabah FC mendahului awal permainan menerusi jaringan Stuart John Wilkin pada minit kesembilan.
Gol tersebut terhasil selepas bola yang dirampas pemain pertahanan Sri Pahang terpantul semula ke kaki Wilkin dalam situasi mendebarkan di depan gawang lawan.
Bagaimanapun, tuan rumah kurang bernasib baik apabila gawang mereka akhirnya dibolosi pada minit ke-66 menerusi rembatan silang kapten Sri Pahang, Kpah Sherman.
Sabah FC gagal memanfaatkan peluang besar selepas pasukan lawan kehilangan seorang pemain apabila Manuel Hidalgo dilayangkan kad merah pada minit ke-70 kerana mengasari Darren Lok.
Jurulatih Sabah FC, Martin Stano, menyifatkan pasukannya bermain dengan lebih baik tetapi tidak dapat memanfaatkan peluang yang dicipta.
"Kami masih mempunyai satu peluang dalam perlawanan kedua di Pahang. Segala-galanya yang penting akan berlaku di sana," katanya.
Sementara itu, jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, memuji kesungguhan dan disiplin pemainnya.
"Hari ini pemain-pemain memberikan yang terbaik. Mereka tekad dan determinasi untuk mendapatkan sesuatu di sini," jelasnya.
Sabah FC dan Sri Pahang FC akan bertemu semula pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Temerloh, Pahang, pada 2 Februari depan.