(Foto MFL)
JOHOR BAHRU, 1 November- Johor Darul Ta’zim, JDT melangkah ke kelompok lapan pasukan terakhir, dalam saingan Piala Malaysia selepas menundukkan PJ City FC 6-0 secara agregat malam tadi.
Pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, JDT menang 2-0 menerusi jaringan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.
Harimau Selatan tidak menunggu lama mencipta gol pertama apabila tendangan Bergson da Silva dari jarak jauh gagal ditangkap penjaga gol PJ City Fc, Kalamullah Al hafiz mat rowi pada minit keempat.
JDT mendominasi permainan namun banyak cubaan jarak jauh gagal tepat ke sasaran.
Tuan rumah hampir menambah gol kedua minit ke 47 menerusi Nazmi Faiz Mansor namun percubaannya berjaya ditangkap Kalamullah.
PJ City FC kemudian nyaris menyamakan kedudukan minit ke 55 menerusi Mohd Khyril Muhaimeen Zamri namun ditangkap kemas Muhammad Haziq Nadzli.
Pemain gantian, Fernando Forestieri yang menggantikan Syafiq Ahmad menghadiahkan gol kedua JDT minit 73 hasil umpanan, Bergson Da Silva.
Sementara itu, pengendali JDT, Hector Bidaglio, berkata, menjelang aksi suku akhir, beliau mahukan pemain kekal fokus untuk memberikan yang terbaik pada saingan kelompok lapan pasukan terakhir.
“Kami perlu fokus dan kami tahu setiap perlawanan dan pasukan itu memang sukar tetapi kami boleh buat sehabis baik dan perlu tingkatkan prestasi,”katanya.
JDT yang masih segar daripada kejayaan muncul juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan menjulang Piala FA 2022 baru-baru ini, seterusnya akan berdepan Kelantan FC.
(Foto MFL)
Kelantan FC menewaskan Sarawak United FC dengan agregat 2-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
Skuad ‘The Red Warriors’ membuka jaringan menerusi Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-13 sebelum Sarawak United menyamakan kedudukan menerusi tandukan Raja Imran Shah pada minit ke-31.
Namun, bekalan satu gol dari aksi pertama membawa Kelantan ke suku akhir.