IPOH, 31 Oktober- Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29.
Ketua Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj menyasarkan pasukannya untuk muncul juara kejohanan tersebut yang akan bermula secara rasmi esok.
Jelasnya, momentum kemenangan perlu dicipta dari sekarang sebelum skuad kebangsaan menghadapi kejohanan lebih penting tahun hadapan antaranya kejohanan piala dunia.
"Kami mahu kuasai benua Asia dahulu sebelum pergi ke tahap seterusnya.
"Kami perlu menang setiap perlawanan dan berkembang sebagai satu pasukan, sebagai persediaan ke piala dunia selain sukan Asia. Itu matlamat utama kami," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
(Arul Selvaraj)
Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 kembali diadakan selepas tertangguh selama dua tahun akibat wabak COVID-19.
Selain Malaysia, lima negara lain yang terlibat adalah Korea Selatan, Pakistan, Afrika Selatan, Jepun dan Mesir.
Skuad Speedy Tigers akan memulakan saingan dengan bertemu juara bertahan Korea Selatan, pukul 8 malam esok.