(Keputusan akhir JDT menentang Kelantan FC)
KOTA BHARU, 6 November- Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya meraih kemenangan selesa apabila menewaskan Naib Juara Liga Premier, Kelantan FC 3-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-4, Kota Bharu.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan hanya selangkah untuk ke separuh akhir dengan aksi timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Sultan
Ibrahim, Jumaat ini.
Biarpun JDT tidak menyenaraikan beberapa tonggak penting dalam kesebelasan utama termasuk, Natxo Insa dan Fernando Forestieri, pasukan itu masih berada di depan dengan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Pada minit ke-29, penjaring terbanyak Liga Super Bergson Da Silva membuka tirai jaringan dengan menanduk masuk sepakan sudut Leandro Velazquez.
(Velazquez menjaringkan gol ke-3 JDT)
Selang lapan minit kemudian, Syafiq Ahmad menjarakkan kedudukan buat JDT apabila penyerang kebangsaan itu bijak menyudahkan hantaran lambung Afiq Fazail.
Walaupun Kelantan dilihat cuba bangkit di babak kedua, namun kedudukan JDT semakin selesa apabila Velazquez meledak gol ketiga pada minit ke-73.
Malang menimpa Harimau Selatan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Afiq dilayangkan kad merah susulan menerima kad kuning kedua pada
minit ke-76.
Kesempatan itu bagaimanapun gagal digunakan The Red Warriors (TRW) untuk merapatkan kedudukan.
Keputusan memihak kepada JDT dengan 3-0 hingga wisel penamat.