(Phil Foden (kiri) dan Erling Haaland memuji penyokong selepas perlawanan
bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Fulham/AFP)
LONDON, 6 November- Gol jaringan penyerang prolifik, Erling Haaland melonjakkan Manchester City ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris.
Jaringan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan itu memberi kemenangan 2-1 kepada City dalam perlawanan menentang Fulham di Stadium Etihad.
Pasukan Pep Guardiola mendahului 1-0 menerusi gol dijaringkan Julian Alvarez pada minit ke-17.
Fulham kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 setelah Andreas Pereira menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan kerana kekasaran Cancelo terhadap Harry Wilson.
Pemain pertahanan City itu dilayangkan kad merah dan diperintah keluar padang.
Tetapi Haaland menjadi wira sekali lagi setelah terlepas dua perlawanan terakhir City disebabkan masalah kesihatan dan kecederaan pada kaki.
Masuk selaku pemain gantian, Haaland menjaringkan penalti pada masa kecederaan untuk menjaringkan gol ke-23 peribadi dalam 16 penampilan kompetitif City sejak perpindahannya dari Borussia Dortmund.
Kemenangan liga ketujuh berturut-turut City meletakkan mereka satu mata di atas pendahulu liga, Arsenal yang bakal berhadapan dengan Chelsea. -AFP
(Erling Haaland (tiga kanan) meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukan menerusi
sepakan penalti bersama Rodri, Phil Foden, Nathan Ake John Stones dan Manuel Akanji
semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Fulham/AFP)