fb fb fb fb fb

Piala Liga, Messi berpeluang rangkul trofi pertama bersama Inter Miami

FOTO AFP

NASHVILLE, 19 Ogos- Bintang Argentina, Lionel Messi mampu untuk menjulang trofi pertamanya bersama Inter Miami, empat minggu selepas membuat penampilan sulung untuk kelab itu.

Hasrat itu dapat dilihat menerusi kejayaan Inter Miami layak ke pusingan akhir menentang Nashville pada perlawanan akhir Piala Liga di Tennessee, Ahad ini.

Pemenang Piala Dunia Argentina itu telah memberi impak transformatif kepada kelab, menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan, mengharungi kejohanan musim panas baharu yang turut merangkumi kelab-kelab Liga MX Mexico.

Messi berpeluang untuk memenangi beberapa piala Amerika sekali gus dapat menambah koleksi trofi besar yang dikumpulnya bersama Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) serta pasukan kebangsaan Argentina.

"Ia akan menjadi hebat. Sesuatu yang luar biasa untuk saya, peminat dan kelab itu sendiri. Kelab ini cuba berkembang dan banyak melabur, dengan harapan dapat membawa satu perubahan besar.

Kami mahu menyusun semula pasukan untuk setiap kemenangan. Ia adalah kelab yang sangat muda, ia menjadi kesayangan oleh semua orang," kata Messi.


(Foto FB Inter Miami)

Impak jaringan gol setiap perlawanan oleh pemenang anugerah Ballon d'Or tujuh kali itu, membawa satu keterujaan kepada penonton untuk terus menyaksikan Liga Major League Soccer (MLS).

Kehadiran Messi dan rakan-rakan dari Sepanyol, Sergio Busquets dan Jordi Alba memacu Miami secara pantas, mengikut harapan peminat.

Inter Miami merupakan kelab tercorot dalam Liga MLS, bagaimanapun berjaya mengorak langkah positif untuk hari mendatang.

Hanya sekali dalam enam perlawanan dalam kejohanan itu, Miami gagal menang sebaliknya seri 4-4 bertemu Dallas, berakhir dengan kemenangan (5-3) menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada peringkat separuh akhir, pasukan itu mempamer aksi memberangsangkan, menang 4-1 berdepan Philadelphia, naib juara MLS musim lalu yang tidak pernah tewas di tempat sendiri dalam 15 perlawanan terakhir mereka.- AFP

Media Baharu