fb fb fb fb fb

Piala FA: KL City, JDT mara ke separuh akhir

(FOTO MFL)

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Juara tiga kali, Kuala Lumpur City FC dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim mengesahkan slot di separuh akhir Piala FA.

Pada perlawanan suku akhir yang berlangsung pada sebelah petang di Stadium Likas, Kota Kinabalu, KL City bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan tuan rumah Sabah FC 2-1 pada pertembungan suku akhir.

Skuad Sang Badak bimbingan Datuk Ong Kim Swee dengan rekod baik di laman sendiri bermula garang apabila mendahului seawal minit keenam menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Gabriel Peres selepas kapten KL City Paulo Josue menjatuhkan Jailton Paraiba.

KL City kembali memperkemaskan permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 .

Menghampiri rehat, T. Saravanan muncul wira skuad The City Boys selepas meledak gol kedua pasukan pada minit ke-44.

Sabah yang tertekan cuba bangkit mencari gol penyamaan pada separuh masa kedua, namun kekentalan barisan pertahanan KL City menidakkan beberapa peluang anak buah Kim Swee sekali gus terpaksa akur ditunjukkan jalan keluar daripada saingan.

Pada perlawanan separuh akhir kelak, KL City yang dibimbing Bojan Hodak akan membuat perhitungan menentang finalis dan juara dua kali Terengganu FC dalam merebut tempat ke pentas final.

Sementara itu aksi di Stadium Sultan Ibrahim, tuan rumah meratah pelawat, Penang FC lima gol tanpa bolos untuk mara ke separuh akhir .

Gol pembukaan skuad Harimau Selatan bagaimanapun hanya hadir selepas 30 minit perlawnan bermula selepas Ousmane Fane tertampan bola ke gawang sendiri.

Jordi Amat kemudannya menambah jaringan JDT selepas menyudahkan tandukan Shane Lowry dalam kotak penalti untuk meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0.

Ketinggalan dua gol, skuad Harimau Kumbang dilihat bergelut mencari rentak apabila hanya berjaya melakukan percubaan dari jarak jauh selepas gagal menembusi kekentalan barisan pertahanan JDT dan ketangkasan penjaga gol Mohd Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan ke kubu lawan sebelum berhasil meledak gol ketiga apabila pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi menyempurnakan penalti pada minit ke-49 yang diberikan pengadil selepas bola terkena tangan Mohammad Khairul Akmal Rokisham.

Aksi JDT tambah rancak apabila menambah dua lagi jaringan masing-masing menerusi Corbin Ong  dan Muhammad Syafiq Ahmad.

JDT akan membuat perhitungan menentang Selangor pada peringkat separuh akhir dalam misi mempertahankan kejuaraan.


(FOTO MFL)

Media Baharu