fb fb fb fb fb

Piala FA : JDT benam UM Damansara United 5-0

FOTO BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 16 Ogos – Juara bertahan Piala FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas UM Damansara United dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Kemenangan itu memberi kelebihan selesa buat Harimau Selatan menjelang aksi timbal balik pada 12 September ini.

Namun begitu, JDT bermula agak perlahan tanpa sebarang percubaan berbahaya di awal permainan.

Segalanya berubah selepas kapten UM Damansara United, Hariz Mansor dilayangkan kad merah pada minit ke-38.

Situasi itu dimanfaatkan JDT menerusi jaringan pembukaan Jonathan Silva di hujung babak pertama.

Silva sekali lagi mencetak gol menerusi tandukan pada minit ke-54 sebelum Teto Martin menambah jaringan ketiga pada minit ke-78.

Penalti Joao Figueiredo di penghujung perlawanan meletakkan JDT semakin selesa, sebelum Bermejo Celso Jose memastikan pesta gol 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE