fb fb fb fb fb

Cup Prix 2025: Syamil ungguli carta CP125

Syamil ungguli sesi kelayakan CP125 - Foto Malaysian Cup Prix

SEPANG, 16 Ogos - Pusingan 6 PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hari ini menyaksikan prestasi meyakinkan daripada Md Syamil Amsyar Md Iffende dalam sesi kelayakan kategori CP125.

Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA-31 RACING itu meraih kedudukan teratas dengan catatan terpantas 1’19.580 saat (s).

Syamil turut menampilkan persembahan konsisten dalam kelompok lima terpantas sejak Latihan 1, mengukuhkan reputasinya sebagai antara pilihan utama untuk pusingan kali ini.

1608 SKN CUP PRIX SYAMIL UNGGUL 2Syamil mahu lebih fokus pada sesi Shoot Out dan perlumbaan sebenar pada Ahad - Foto Malaysian Cup Prix

“Strategi saya minggu ini adalah untuk berada di podium. Saya telah menyusun strategi yang baik bersama rakan saya, Farid Hakimi. Kami lebih fokus kepada sesi Shoot Out dan perlumbaan esok.

"Dari Latihan 1 ke Latihan 2, saya memang tidak dapat pelarasan yang baik, tambahan pula minggu ini saya dalam keadaan demam. Bagaimanapun, saya akan cuba lakukan apa yang terbaik esok,” katanya.

Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA-CKJ RACING berusaha menandingi masa Syamil, namun terpaksa akur di kedudukan kedua, hanya 0.021s di belakang menerusi catatan 1’19.601s.

Sementara itu, Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM menamatkan sesi di tempat ketiga dengan masa 1’19.671s, sekali gus meletakkan tiga pasukan berbeza dalam kelompok teratas.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK