SEPANG, 16 Ogos - Sesi kelayakan Pusingan 6 PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) bagi kategori Wira KBS menyajikan aksi bertenaga pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA-31 RACING, Farres Putra Md Fadhill.
Pelumba muda itu menampilkan tunggangan bertenaga untuk mencatat masa terpantas.
Farres yang memasuki litar ketika sesi berbaki 10 minit terus memberikan tekanan kepada para pencabar dengan catatan masa konsisten setiap pusingan, sebelum merekodkan pusingan emas seawal pusingan ke-3 menerusi catatan 1’21.218 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod terpantas 1’21.290s yang turut dilakukannya dalam sesi latihan 2.
Farres mahu buat yang lebih baik dalam perlumbaan sebenar - Foto Malaysian Cup Prix
“Kali ini kredit perlu saya berikan kepada bos dan mekanik pasukan kerana banyak membantu saya. Dalam sesi kelayakan tadi saya ingat saya tidak akan dapat petak utama, sebab saya lihat papan pit menunjukkan bahawa saya berada di kedudukan keempat dan ketiga.
"Saya tidak nampak nama saya di kedudukan pertama. Saya hanya bersabar dan percaya pada rezeki Allah. Alhamdulillah, saya dapat posisi ‘Pole’. Kita akan cuba buat yang lebih baik dalam perlumbaan esok,” katanya.
Pencapaian tersebut mengukuhkan reputasinya sebagai antara calon utama kemenangan minggu ini.
Sementara itu, Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM mencuba sehabis daya untuk menyaingi kelajuan Farres, namun terpaksa akur di kedudukan kedua, hanya 0.157s di belakang dengan masa 1’21.375s.
Manakala rakan sepasukan Farres, Raiyan Khardanee Md Sanusi mengekalkan prestasi konsisten untuk melengkapkan kelompok tiga terbaik.
Turut memberikan saingan memberangsangkan dalam kelompok lima terpantas ialah Md Arfan Ashraf Md Mazlan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA-31 RACING dan Md Syahmi Aiman Md Shafie dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING yang masing-masing mencatat masa 1’22.037s dan 1’22.053s.
Ini jelas menandakan perlumbaan minggu ini bakal menyajikan aksi penuh kejutan.