ISKANDAR PUTERI, 17 Ogos – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, melahirkan rasa puas hatinya dengan persembahan pasukannya terutama pemain baharu yang berjaya meledak gol pada penampilan pertama, ketika skuad Harimau Selatan membelasah UM Damansara United 5-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Jelas beliau, keputusan menurunkan dua pemain import baharu iaitu Teto Martin dan Celso Bermejo pada perlawanan tersebut membuahkan hasil.
“Saya sangat gembira dengan pemain yang membuat penampilan pertama malam ini. Teto dan Celso berjaya menjaringkan gol malam ini.
"Kami masih perlu teruskan. Mereka perlu segera memahami corak permainan JDT dan bola sepak di Malaysia. Lebih banyak minit mereka beraksi bersama, lebih baik persembahan mereka nanti,” ujarnya yang ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, Jurulatih UM Damansara United, Ridzuan Abu Shah, pula memuji semangat juang anak buahnya meskipun terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas ketua pasukan Haris Mansor dilayangkan kad kuning kedua.
“Perkara itu berlaku dalam sekelip mata. Saya sebenarnya sudah maklum pada staf untuk menukar Hariz kerana dia agak agresif di posisi tengah bertahan.
Selepas itu memang saya menjangkakan kad kuning kedua bakal tiba
"Saya tetap berbangga dengan pemain yang berusaha bermain dengan 10 orang selama 57 minit. Sebagai jurulatih, saya berterima kasih kepada mereka,” ujarnya.
Pada perlawanan tersebut, JDT membuka jaringan menerusi Jonathan Silva di hujung babak pertama.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan itu kemudiannya terus menambah gol menerusi Silva sekali lagi pada minit ke-54 menerusi tandukan.
Pemain import dari Sepanyol, Teto Martin kemudiannya menambah derita pasukan pelawat dengan gol ketiga JDT hasil rembatan leret menewaskan penjaga gol UM Damansara United, Ameerul Eqhwan pada minit ke -78.
Sepakan penalti oleh Joao Figueiredo selain jaringan Celso Bermejo pada penghujung permainan melengkapkan pesta jaringan buat JDT bagi membawa bekalan selesa pada perlawanan timbal balik yang bakal berlangsung pada September depan.