fb fb fb fb fb

EPL: Frank rai kemenangan sulung bersama Spurs

Pengurus Spurs, Thomas Frank meraikan kemenangan sulung pasukannya selepas berjaya menumpaskan Burnley 3-0 /Foto AFP

LONDON, 17 Ogos – Thomas Frank meraikan kemenangan sulungnya selaku pengurus baharu Tottenham Hotspur dengan bergaya selepas pasukannya menewaskan Burnley 3-0, awal pagi tadi.

Frank, yang berhijrah daripada Brentford menggantikan Ange Postecoglou selepas bekas pengendali itu dipecat hujung musim lalu.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang Spurs, Ricaharlison meledak dua gol termasuk rembatan gunting menakjubkan pada minit ke-60 sebelum Brennan Johnson melengkapkan hari gemilang Spurs pada minit ke-66.

“Permulaan sempurna atau permulaan impian. Saya mahu menikmatinya dan berharap pemain, kelab serta penyokong turut merasainya kerana itu yang penting,” kata Frank.

Frank, yang hampir menghadiahkan trofi pertama ketika Spurs tewas kepada Paris Saint-Germain dalam penentuan penalti pada Piala Super UEFA, yakin kemenangan ke atas Burnley membuktikan pasukannya kini berada di landasan tepat selepas menamatkan saingan di tangga ke-17 musim lalu iaitu kedudukan terburuk sejak 1976-77.

“Richarlison sangat luar biasa, bukan sahaja dengan dua gol, tetapi cara dia bekerja keras, menggerakkan pasukan dan mendominasi perlawanan. Jaringan kedua?

"Satu penyudah luar biasa. Saya fikir terlalu awal untuk anugerah ‘Gol Terbaik Musim’, tetapi ia pasti pencabar,” puji Frank.

Burnley, yang kembali ke Liga Perdana selepas menjuarai Liga kejuaraan musim lalu dengan rekod pertahanan cemerlang, jelas bergelut dengan aksi mantap yang ditampilkan Spurs dan bakal berdepan laluan sukar untuk kekal di Liga Perdana Inggeris. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD