WOLVERHAMPTON, 17 Ogos - Manchester City memberi amaran awal terhadap pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membelasah Wolverhampton Wanderers 4-0 dalam aksi pembukaan awal pagi tadi.
Erling Haaland menjadi wira dengan dua jaringan manakala dua pemain baharu, Tijjani Reijnders dan Rayan Cherki turut meledak gol masing-masing untuk menghidupkan kembali impian bagi memburu kejuaraan musim ini.
City yang menamatkan musim lalu di tangga ketiga tanpa sebarang trofi, tampil dengan wajah baharu apabila Reijnders, yang dibeli dari AC Milan dengan harga £46.5 juta, memukau dengan gol dan bantuan jaringan pada penampilan sulungnya.
“Dia pembelian tepat untuk masa depan City. Selepas musim penuh kecederaan tahun lalu, kini kami ada tenaga baharu,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
Pada aksi yang berlangsung di Molineux, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang sebelum dua gol pantas menerusi Haaland minit ke-34 dan Reijnders minit ke-37 mengubah rentak perlawanan.
Memasuki babak kedua, City menggandakan asakan dan hasilnya Haaland sekali lagi membolosi gawang Wolves dengan gol ketiga perlawanan pada minit ke-61 menjadikan kedudukan 3-0.
Rayan Cherki menambah derita Wolves dengan gol keempat perlawanan pada minit ke-81 sekali gus memberi tiga mata penuh buat skuad 'The Citizen'. - AFP