fb fb fb fb fb

Barcelona buka kempen La Liga dengan langkah kanan

Raphinha meraikan jaringan pembukaan ketika membantu Barcelona menewaskan Mallorca 3-0 dalam aksi La Liga/Foto AFP

MADRID, 17 Ogos - Juara bertahan La Liga, Barcelona memulakan kempen musim baharu dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Mallorca yang terpaksa beraksi dengan sembilan orang pemain.

Raphinha, Ferran Torres dan bintang muda Lamine Yamal meledak jaringan untuk memastikan kemenangan di Estadi Mallorca Son Moix.

Meskipun menang, pengurus Barcelona Hansi Flick tidak mampu menahan kekecewaannya terhadap prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

“Tiga mata ini penting, tetapi saya tidak suka cara kami bermain.

"Selepas dua gol awal dan lawan kehilangan dua pemain, kami hanya beraksi pada 50 peratus. Itu tidak boleh diterima,” kata Flick.

Mallorca kehilangan Manu Morlanes pada minit ke-33 selepas mengutip dua kad kuning, sebelum penyerang Vedat Muriqi pula dilayangkan kad merah kerana mengasari penjaga gol Barcelona, Joan Garcia.

Barcelona menambah jaringan di masa kecederaan menerusi Yamal yang memperdayakan tiga pertahanan sebelum merembat cantik ke penjuru gawang.

Penyerang pinjaman, Marcus Rashford yang baru selesai pendaftaran liga beberapa jam sebelum perlawanan turut diberi peluang bermain pada perlawanan berkenaan.

Dalam aksi lain, Rayo Vallecano menewaskan Girona 3-1.

Manakala Villarreal menundukkan pendatang baharu Real Oviedo 2-0.

Atletico Madrid pula bakal menentang Sevilla pada Ahad dan Real Madrid menutup tirai minggu pertama menentang Osasuna pada Selasa. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD