fb fb fb fb fb

Piala Emas Raja-Raja: PBMK pertaruh kombinasi pemain senior dan muda

FOTO KDA FC

ALOR SETAR, 23 Oktober- Pasukan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK) mempertaruhkan kombinasi 20 pemain daripada pasukan Kedah Darul Aman, KDA FC 'C' dan 'D' bagi membawa cabaran pasukan itu pada Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2023 yang akan berlangsung pada 27, 28 dan 29 Oktober ini.

Pengurus pasukan, Abdul Ghafar Saad berkata, kehadiran pemain berkenaan diharap mampu membawa kejayaan buat pasukan.

Beliau berkata, kebanyakan pemain telah menjalani latihan dibawah kendalian jurulatih profesional dan ia memudahkan perancangan pasukan PBMK bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Malah ia juga merupakan medan terbaik untuk pemain muda berumur lingkungan 19 tahun mempamerkan bakat dan diserap ke skuad senior Kedah pada masa hadapan.

"Pemain yang terdiri dari kejohanan Piala Presiden dan Belia ini adalah gabungan 20 pemain terbaik, sentiasa dibawah pemantauan barisan kejurulatihan professional, cuma kita perlu lebih berhati-hati dengan pasukan Juara bertahan kejohanan ini, iaitu Selangor.

"Persiapan pasukan yang telah diatur, saya yakin dengan menjadi tuan rumah kali ini memberi kelebihan dari segi taktikal, secara keseluruhan pasukan kita yakin untuk layak ke peringkat seterusnya,"katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama para pemain dan barisan kejurulatihan pasukan.

Sementara itu, mengulas mengenai format pertandingan dan perlawanan dalam jarak yang terlalu dekat, Abdul Ghafar berkata pemain perlu fokus dan mengelakkan kecederaan.

"Kita perlu fokus perlawanan demi perlawanan, dengan jarak perlawanan setiap hari, pemain-pemain perlu lebih fokus mengelakkan kecederaan untuk memastikan pasukan dalam prestasi optimum dengan menyenaraikan pemain terbaik setiap perlawanan,"katanya.

Kedah (PBMK) sebagai tuan rumah diundi dalam Kumpulan C bersama Perlis, Selangor dan Perak.

Saingan Kumpulan C akan berlangsung di dua venue perlawanan iaitu Stadium Mini MPKP Jitra dan Padang MADA, Ampang Jajar.

Kedah akan bertemu Selangor di Stadium Mini MPKP, Jitra pada 27 Oktober; diikuti perlawanan kedua menentang Perak juga di gelanggang yang sama pada 28 Oktober.

Perlawanan ketiga, Kedah akan bertemu Perlis di padang MADA Ampang Jajar, Alor Setar pada 29 Oktober.

Kesemua perlawanan bermula pukul 4.30 petang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE