fb fb fb fb fb

Piala Dunia Wanita: Jepun mara ke pusingan 16 dengan bergaya

(FOTO AFP)

SYDNEY, 31 Julai-Jepun mengukuhkan reputasinya sebagai pasukan pilihan pada edisi Piala Dunia kali ini apabila menang bergaya menewaskan Sepanyol 4-0 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan C.

Pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Regional Wellington itu, pasukan Sepanyol dilihat mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama melalui percubaan berbahaya menerusi penyerang pasukan berkenaan.

Namun, serangan demi serangan yang dilancarkan gagal menembusi pertahanan Jepun yang bertahan dengan baik.

Corak menyerang yang diterapkan Sepanyol pada perlawanan itu mengundang padah, apabila Jepun melakukan serang balas sehingga berjaya memperolehi jaringan pertama perlawanan pada minit ke-12 menerusi Hinata Miyazawa yang menolak masuk hantaran Endo.

Taktik serang balas yang dilakukan Jepun sekali lagi memerangkap pertahanan Sepanyol apabila skuad yang digelar 'Nadeshiko' itu menjaringkan gol kedua pada minit ke-29.

Kali ini giliran Riko Ueki menggegarkan gawang Sepanyol menerusi rembatan yang tertampan oleh pertahanan Sepanyol.


(Para pemain Jepun meraikan gol pertama mereka ketika menentang Sepanyol/FOTO
AFP)

Meski pun dibarisi barisan pemain bintang seperti Alexia Putellas dan Aitana Bonmati, Sepanyol dilihat gagal melakukan sebarang percubaan pada separuh masa pertama.

Penyerang Jepun, Hinata Miyazawa sekali lagi mencuri tumpuan menerusi gol ketiga, pada minit ke-40 dan menjadikan kedudukan 3-0.

Gol tersebut merupakan gol kedua peribadi buat Hinata sekali gus meletakkannya sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan empat gol.

Bersambung babak kedua, Sepanyol dilihat menerapkan permainan menyerang bagi mencari gol, namun, digagalkan menerusi corak permainan serang balas Jepun yang berjaya menutup ruang tengah pasukan Sepanyol.

Jepun sekali lagi menjaringkan gol keempat menerusi Mina Tanaka pada minit ke-82 selepas kecuaian pertahanan Sepanyol bagi mengeluarkan bola daripada permainan.

Kemenangan tersebut membolehkan Jepun menjuarai kumpulan C dengan memungut 9 mata diikuti Sepanyol sebagai naib juara kumpulan.

Kemenangan itu juga membolehkan Jepun layak ke pusingan 16 terbaik dan bakal bertemu Norway, naib juara kumpulan A Ahad ini.-AFP

Media Baharu